KUCHING, 26 Januari:

Beliau sekali lagi menunjukkan keangkuhan dan kejahilannya.

Kali ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka diadakan bila-bila masa sahaja.

Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam lidah rasmi parti Islam itu, Harakah Daily mengenai agama Kristian, boleh mendatangkan kesan buruk pada PRN, khasnya ketika parti itu masih bergelut untuk berdiri di Bumi Kenyalang.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian menyifatkan kenyataan Hadi sebagai “contoh klasik seorang penduduk Malaysia Barat yang tiada pengetahuan mengenai sejarah rakyat Sarawak dan tiada minat untuk belajar.

“Saya tidak faham apa yang akan beliau dapat dengan membuat komen-komen jahat dan taksub sedemikian, kecuali mungkin beliau melakukannya untuk Umno, kerana beliau tentunya bercakap seperti salah seorang daripada mereka,” katanya.

Kenyataan Hadi itu menjengkelkan kebanyakan masyarakat Kristian di Sarawak, selepas beliau mengatakan mubaligh Kristian menggunakan cara tidak beretika, seperti memberi wang atau insentif untuk menyebarkan agama itu.

“Kristian tidak lagi menarik di negara-negara yang mempunyai tahap pendidikan tinggi, seperti Jerman, Perancis, Britain dan Eropah. Jadi, mereka membawa pengajaran itu ke kawasan pedalaman di negara kita, seperti Sabah dan Sarawak,” kata Hadi seperti dilaporkan media PAS itu.

Ini bukan kali pertama Hadi membuat kenyataan tidak sensitif sedemikian terhadap Sarawak.

Ketika Pilihan Raya Kecil Batang Ai berlangsung pada 2009, Hadi berkata: “Hanya orang Dayak yang memakai cawat undi BN, manakala mereka yang berpakaian lengkap mengundi pembangkang.

“Sudah tentu beliau tidak faham satu benda pun mengenai Sarawak. Di Sarawaklah insiden penukaran agama oleh umat Islam dari Malaysia Barat secara curi-curi dan paksa, dilaporkan dan ditonjolkan dalam media sekali-sekala.

“Apa yang Hadi Awang perlu kata mengenai perkara ini, selain membuat penafian bulat-bulat, seperti kebiasaan ahli-ahli politik BN dan pihak berkuasa Islam?” katanya.

Tambahnya, dengan membuat kenyataan-kenyataan jahil itu, Hadi menunjukkan beliau tidak mempunyai kebijaksanaan dan wawasan untuk bergelar seorang pemimpin, tidak kira dalam politik ataupun agama.

“Pemimpin sebenar berusaha untuk menyatukan rakyat, manakala oportunis kejam dan tidak berprinsip akan menyebabkan perpecahan di kalangan masyarakat.

“Saya tidak kata saya pakar mengenai Islam, tetapi kata-kata Hadi Awang adalah perbuatan keji terhadap agamanya sendiri dan ia hanya boleh dimaafkan jika beliau terbukti nyanyuk atau tidak waras,” tambahnya.

Pada PRN lalu, PAS bertanding di empat kerusi, iaitu Tanjung Datu, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro yang merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.

Cubaan itu sekadar meraih hampir 20 peratus undi di ketiga-tiga kerusi berkenaan, kecuali Beting Maro, di mana mereka berjaya mendapat 46.1 peratus undi dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Razali Gapor yang menang dengan majoriti 391 undi.

Calon PAS, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus meraih 2,678 undi, berbanding Razali yang mendapat 3,069 undi di kerusi bermajoriti pengundi Melayu itu.

Pemerhati tempatan percaya, kenyataan Hadi baru-baru bertujuan meraih undi masyarakat Islam di Sarawak, dengan membangkitkan sentimen agama.

Namun, dengan keadaan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang memegang tampuk pentadbiran Sarawak, ia mungkin sukar untuk PAS membuat perubahan pada PRN kali ini.