KUALA LUMPUR, 26 Januari:

“Doa-doa je la,” kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah ketika ditanya perkembangan terkini krisis politik di negeri itu.

Beliau yang dikatakan calon menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah itu kemudiannya ditanya desas-desus mengenai Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar baru yang dikatakan diadakan pada Rabu ini.

“Belum lagi, sabar dulu,” katanya ringkas kepada The Rakyat Post.

Politik Kedah bergolak apabila Ahmad Bashah baru-baru ini mengadakan sidang media menolak kepimpinan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah.

Ahmad Bashah ketika mengadakan sidang media sebelum ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Presiden Umno melakukan rombakan terhadap kepimpinan parti di Kedah.

Ahmad Bashah dikatakan memaklumkan kepada Najib bahawa keputusan untuk menukar Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah adalah keputusan sebulat suara perhubungan.