KUALA LUMPUR, 26 Januari:

Seorang Ahli Parlimen hari ini mencuri perhatian dengan penggunaan perkataan ‘kiasu’ dan ‘kiasi’ bagi menggambarkan sikap yang seharusnya diambil rakyat Malaysia berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Membahaskan usul TPPA pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini, Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berkata, rakyat Malaysia harus mengamalkan sikap ‘kiasu’ dalam erti kata tidak mahu kalah dengan memiliki daya saing tinggi, sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menang.

“Kita mahu memperjuangkan yang terbaik untuk negara kita dan saya yakin perunding kita sentiasa mempunyai sikap kiasu apabila menjalankan rundingan dengan negara lain,” katanya.

Sikap sama, kata Liang, perlu menjadi pegangan rakyat untuk bersama melonjakkan Malaysia menjadi negara maju.

“Semua pihak perlu yakin dengan kemampuan dan daya saing masyarakat negara ini,” katanya sambil menambah, dasar tutup pintu dalam ekonomi hanya akan merugikan negara.

Pada masa sama, kata Liang, rakyat Malaysia harus menolak sikap ‘kia’ (takut) ‘si’ (mati) – ‘kiasi’ yang mencerminkan sikap takut menerima cabaran atau mengambil risiko.

“Inilah sikap yang seharusnya ditolak, kerana dengan sikap ‘kiasi’, kita tidak akan ada budaya saing ke arah mencapai keputusan cemerlang,” katanya.

Beliau turut berkata, ada segelintir pihak yang gusar dengan kewujudan Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) dalam TPPA, sedangkan ISDS bukan sesuatu yang baru.

Sehingga kini, negara telah menandatangani 74 perjanjian pelaburan dua hala dan lapan FTA yang mengandungi mekanisme ISDS.

Tegasnya, TPPA akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam jangka panjang dan ke arah itu, negara perlu menyesuaikan diri dalam persekitaran ekonomi dan perdagangan antarabangsa yang kian maju dan saling berhubung.