KUALA LUMPUR, 25 Januari:

Pertukaran Menteri Besar Kedah mungkin berlaku Jumaat ini, menurut sumber-sumber.

Ketika perubahan kepimpinan kerajaan negeri jelapang padi itu dikatakan mungkin berlaku hari ini, akhbar The New Straits Times memetik seorang exco sebagai berkata, jika ada perubahan, ia hanya akan berlaku “dalam tempoh beberapa hari lagi.”

Sumber memberitahu The Rakyat Post bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dijangka menghadap Sultan Kedah di Alor Setar tidak lama lagi, bagi mendapatkan perkenan baginda untuk menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

Sumber itu mendakwa, pertukaran MB Kedah dijangka berlaku Jumaat ini.

Akhbar The Star hari ini melaporkan, penyingkiran mungkin berlaku, dengan 19 wakil rakyat atau exco telah menandatangani akuan berkanun bagi menyingkirkan Mukhriz.

Ada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menandatangani akuan berkanun itu kemudian, iaitu Datuk Suraya Yaacob dari Sungai Tiang, Datin Noor Sabrina Mohd Noor (Bandar Baru) dan Datuk Hasan Sarif (Kota Siputeh).

Sementara itu, Adun Jitra, Aminuddin Omar yang sebelum ini menyuarakan sokongan kepada Mukhriz, kekal dengan pendiriannya dan tidak menandatangani akuan berkanun itu.

Dua wakil MCA Kedah hari ini turut menafikan menandatangani akuan berkanun, demikian menurut laporan The New Straits Times.

Adun Gurun, Datuk Dr Leong Yong Kong dan Chua Thiong Ghee (Kulim) berkata, mereka tidak pernah melihat akuan berkanun itu.

Najib mempunyai jadual padat sepanjang minggu ini, kerana Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dijadual dibahaskan di Parlimen dalam sidang khas selama dua hari, bermula esok.

Pada Khamis ini pula, Perdana Menteri dijangka membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016.

Kemelut Kedah bermula, susulan sidang media yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, pada Rabu lalu, yang mengumumkan majoriti pemimpin parti negeri itu sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Ia disusuli pertemuan tertutup antara kumpulan Ahmad Bashah dan Najib di Ibu Pejabat Umno, ibu negara.

Ketika namanya disebut-sebut bakal menggantikan Mukhriz, Ahmad Bashah bagaimanapun menafikan beliau gila jawatan dan mahu menggulingkan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Dalam sidang media yang diadakan di kediamannya di Alor Setar, semalam, Ahmad Bashah menegaskan: “Kalau saya gila jadi MB, pilihan raya hari itu saya sudah jadi MB. Ketika itu, saya ialah pengerusi perhubungan, saya juga pengarah pilihan raya.”