KLUANG, 24 Januari:

Sambutan perayaan Thaipusam tahun ini cukup bermakna bagi penganut Hindu di Renggam, dengan kehadiran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Ketibaan baginda kira-kira jam 12.18 tengah hari di Kuil Hindu Samajam Sri Murugan, Jalan Layang-layang, Renggam, disambut penduduk dengan laungan ‘Daulat Tuanku’.

Baginda berkenan mencemar duli bersantap tengah hari dan meluangkan masa lebih sejam, sambil bermesra dengan kira-kira 3,000 penduduk Renggam.

Sultan Ibrahim yang menaiki kenderaan rasmi baginda, turut diiringi Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor, R. Vidyananthan dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim.

Pada majlis tersebut, baginda turut dihiburkan dengan tarian ‘Kolladtam’, iaitu tarian masyarakat India yang lazimnya dipersembahkan kepada tetamu terhormat.

Seorang bekas pekerja swasta, V. Subramaniam, 62, teruja dan bangga, kerana buat kali pertamanya, beliau berpeluang melihat Sultan Ibrahim dari dekat.

“Dua perkara yang menggembirakan saya hari ini, iaitu dapat bertemu dengan Sultan Johor dan juga menyempurnakan ‘nazar’ cukur rambut, apabila cucu lelaki saya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan akhir tahun, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, kunjungan Sultan Ibrahim ke perayaan Thaipusam cukup bermakna buat semua penganut Hindu dan juga masyarakat setempat.

“Ini membuktikan baginda prihatin dan berjiwa rakyat,” katanya.

Norlia Mohammad, 47, berkata kehadiran Sultan Ibrahim ke Pekan Renggam bagi sambutan perayaan itu turut menceriakan suasana di pekan tersebut.

Bagi Norlia, sudah menjadi satu kemestian baginya dan keluarga setiap tahun, untuk keluar seawal jam 7 pagi bagi menyaksikan perarakan kabadi sempena perayaan Thaipusam di kuil tersebut.

“Saya rasa tidak salah, jika kita sama-sama meraikan perayaan Thaipusam dengan rakan-rakan beragama Hindu, kerana mereka juga datang ke rumah saya bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Suri rumah sepenuh masa itu berkata, beliau bangga menjadi rakyat Malaysia, kerana perbezaan bangsa dan agama bukan halangan untuk semua orang menjadi kawan.

“Saya bukan hanya mempunyai rakan beragama Hindu, tetapi juga lain-lain agama dan hubungan kami rapat bagaikan sebuah keluarga besar,” katanya.

Haur Eng Ka, 44, pula berkata, setiap tahun, beliau dan rakan-rakan akan berkumpul di hadapan kuil tersebut, bagi melihat pesta berwarna-warni sempena sambutan Thaipusam.

“Setiap tahun, pagi-pagi saya dan rakan-rakan akan datang sini…kita semua kawan, tidak kira Melayu, Cina atau India,” katanya.