LANGKAWI, 24 Januari:

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sama ada serpihan yang ditemui di sebuah pantai di selatan Thailand milik pesawat MH370 atau sebaliknya, adalah spekulasi semata-mata ketika ini.

Bercakap kepada wartawan pagi tadi, Liow berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah diarahkan untuk menghubungi pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan pengesahan.

Liow turut meminta media dan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung penemuan itu, kerana ia akan memberi tekanan kepada keluarga dan rakan-rakan anak kapal serta penumpang menaiki pesawat yang hilang sejak 8 Mac 2014 itu.

Menurut laporan The Bangkok Post, dua nelayan menemui satu objek logam besar berukuran tiga meter dan seberat kira-kira 100 kilogram, di pantai Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand, pagi semalam.

Memetik Ketua Kampung Tha Phraya, Pramote Ruangdit sebagai berkata, belum ada pengesahan daripada pegawai tentera dan ia mungkin adalah sebahagian daripada muncung pesawat.

Hasil pemerhatian nelayan-nelayan, serpihan itu mungkin berada di laut kira-kira setahun.

Ia kemudiannya mendorong media Thailand membuat spekulasi yang mengaitkan penemuan objek besar itu dengan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hampir dua tahun lalu.

Sementara itu, di laman media sosial Twitter, ada beberapa pengguna berkongsi gambar dan catatan yang mengatakan serpihan itu seperti milik reraut roket H2A milik Jepun.

Bekas Kapten Tentera Udara Diraja Malaysia, Abdul Rahmat Omar Mohd Haniff ketika menjawab satu tweet berkata, “Ia bukannya serpihan sebuah pesawat.”

Steve Herman yang merupakan wartawan berpangkalan di Bangkok berkata: “Serpihan di pantai Thai  hampir pasti adalah reraut roket H2A Jepung, bukannya MH370.”