KUALA LUMPUR, 24 Januari:

Polis masih mempunyai 24 jam untuk menjalankan siasatan ke atas pemandu kereta mewah jenis BMW yang melanggar tiga penganut Hindu sehingga maut, semalam.

Menurut Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nazri Hussain berkata, suspek yang dikenali sebagai Seng Guan Chuan ditahan, selepas menyerah diri di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 7.20 malam semalam.

“Kalau masa siasatan 24 jam itu tidak mencukupi, barulah kita akan buat permohonan reman dari majistret.

“Petang nanti baru kita tahu, sama ada suspek akan direman atau tidak,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, tiga pejalan kaki yang sedang berjalan di lorong kecemasan dari arah Seremban, maut di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur keluar ke Sri Petaling, selepas dilanggar sebuah kereta jenis BMW berwarna hitam yang datang dari arah bertentangan.

Mangsa korban adalah K. Saravanan, 45, C. Kannan, 51, dan S. Papa, 53.

Mereka yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu adalah sebahagian daripada rombongan 45 peserta yang berjalan kaki dari Senawang menuju Batu Caves untuk menunaikan ‘nazar’, sempena sambutan Thaipusam, hari ini.

Kemalangan itu turut mengakibatkan tiga lagi peserta cedera parah.