PUTRAJAYA, 24 Januari:

Seorang peguam ditahan semula, setelah dibebaskan daripada tahanan reman empat hari yang tamat hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah perlombangan bauksit di Kuantan, Pahang.

Jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya berkata, peguam itu dibebaskan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, kira-kira jam 10.30 pagi tadi, sebelum ditahan semula oleh pegawai SPRM cawangan Kuantan, kira-kira jam 12.40 tengah hari.

“Peguam itu dibawa ke pejabat suruhanjaya di Kuantan. Ia dipercayai bagi membantu siasatan kes perlombongan bauksit secara haram di Kuantan,” katanya.

Peguam tersebut antara empat individu yang dibebaskan SPRM, selepas tempoh tahanan reman empat hari mereka berakhir hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah perlombongan bauksit di Pahang.

Selain peguam itu, turut direman ialah seorang ‘Datuk’ yang juga bekas pegawai kanan sebuah agensi kerajaan, seorang wanita yang juga pekerja sebuah syarikat perlombongan dan seorang penjawat awam yang juga pegawai kanan di Jabatan Mineral dan Geosains Pahang.

Mereka yang berusia 34 hingga 42 tahun itu direman, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, iaitu menggunakan dokumen mengandungi maklumat palsu berkaitan perlombongan bauksit di Pahang.