MARANG, 24 Januari:

Dengan menggunakan helah ke tandas, seorang banduan lelaki berumur 23 tahun yang sedang menjalani hukuman di Penjara Marang, berjaya meloloskan diri ketika mengikuti kelas agama di penjara berkenaan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Marang, Mohd Suhaimi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, banduan terbabit dikatakan meminta izin daripada ustaz yang mengajar untuk ke tandas.

“Namun, suspek tidak pulang semula ke kelas berkenaan, lantas ustaz itu memaklumkan kejadian kepada warden bertugas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek melarikan diri dengan memanjat pagar di belakang tandas berkenaan.

Katanya, suspek yang berasal dari Marang itu mula menjalani hukuman di penjara berkenaan pada 3 Januari lalu, di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, atas kesalahan mencuri dalam bangunan.

“Pihak polis kini melancarkan Op Tutup bagi memburu suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek memaklumkan kepada polis,” katanya.