KUALA LUMPUR, 23 Januari:

Polis memburu pemandu kenderaan mewah jenis BMW yang telah melanggar sekumpulan penganut beragama Hindu yang dalam perjalanan dari Senawang menuju ke Batu Cave untuk meraikan perayaan Thaipusam, pagi tadi.

Pemandu kenderaan yang dikenali sebagai Seng Guan Shuan, dipercayai telah merempuh sekumpulan penjalan kaki yang melalui Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur berdekatan Seri Petaling.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superitendan Markandan Subramaniam berkata, kenderaan mewah milik pemandu terbabit telah ditemui di Lebuhraya KESAS selepas beliau melarikan diri dari tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati,pemilik kereta terbabit dipercayai seorang wanita berusia 51 tahun, berasal dari Pulau Pinang, yang juga ibu kepada pemandu kereta terbabit.

“Namun ketika dihubungi pihak polis, keluarga suspek enggan berkerjasama dan hanya memberikan nama suspek sahaja,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur, tadi.

Menurutnya, sekumpulan yang terdiri daripada enam orang pejalan kaki di laluan kecemasan pada laluan bertentangan dengan laluan kereta dikatakan dirempuh oleh sebuah kereta yang hilang kawalan.

“Kumpulan yang melalui jalan bertentangan itu dipercayai melambung akibat impak pelanggaran yang kuat oleh kereta terbabit.

“Ketiadaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian lebih menyukarkan siasatan polis. Bagaimanapun setelah memeriksa identiti suspek, tiada sebarang rekod jenayah dikenalpasti,” jelasnya.

Kemalangan langgar lari yang berlaku kira-kira jam 8.30pagi tadi menyebabkan tiga maut ditempat kejadian.

Mereka yag maut adalah C Kannah, 51; S Papa, 53; K Saravanan, 45; semua dari Negeri Sembilan.

Manakala tiga yang lain mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur.