KUALA LUMPUR, 23 Januari:

Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab pemandu kenderaan mewah BMW yang merempuh sekumpulan penganut Hindu sehingga mengakibatkan tiga kematian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KESAS), pagi tadi.

Menurutnya, pemandu kenderaan terbabit sepatutnya bertanggungjawab terhadap kecuaiannya yang memandu laju sehingga melanggar kumpulan terbabit.

“Kumpulan itu sudah biasa melakukan aktiviti ini, malah mereka melakukannya dengan berhati-hati, berjalan di laluan kecemasan berdekatan pengadang jalan raya.

“Pemandu terbabit harus bertanggungjawab, jelas sekali beliau memandu laju dan telah hilang kawalan. Keadaan cuaca amat cerah dan terang ketika memandu pada jam 8 pagi.

“Pihak polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemandu ini, jika berjalan di tengah-tengah lebuhraya memang salah, tetapi mereka melalui laluan tepi lebuhraya. Tiada sebab untuk kereta tersebut masuk di laluan itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga yang terbabit ketika meluangkan masa melawat tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), sebentar tadi.

Sementara itu Ketua Pemuda MIC, C.Sivarraajh menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pemandu berkenaan dan menjadikan kejadian malang ini sebagai satu pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati ketika pemanduan.

“Ini merupakan hari yang mendukacita kan buat semua penganut Hindu dan kejadian ini betul-betul tragik. Di dalam kes ini pemandu terbabit telah hilang kawalan, namun beliau juga tidak berhenti untuk memberi bantuan kepada mangsa yang terlibat.

“Mereka (kumpulan penjalan kaki) yang tidak bersalah sedang menuju ke Batu Caves dan dilanggar oleh seorang pemandu yang tidak bertanggungjawab.

“Kami harap pihak polis dapat menahan suspek dengan segera kerana nombor pendaftaran kereta sudah dapat dikesan,” jelasnya.