GUA MUSANG, 23 Januari:

Enam sekeluarga maut apabila kereta yang mereka dinaiki bertembung dengan lori dalam kejadian di Jalan Gua Musang-Kota Bharu di Gua Sejuk, di sini, hari ini.

Difahamkan, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu turut meragut nyawa tiga kanak-kanak yang berada dalam kereta terbabit sementara seorang lagi cedera parah.

Muhd Hafiz Adzudin, 30; parah manakala enam yang terkorban adalah isterinya, Nor Azila Yahya, 28; anaknya, Nur Hadif Haykal Mohd Hafiz, setahun enam bulan; ibu Muhd Hafiz, Madiah Drani dan adiknya, Noor Amira Aszudin, 23.

Dua lain yang terkorban adalah kanak-kanak kembar yang juga cucu kepada Madiah, Siti Nur Raudah Abdul Rahman, 4; dan Siti Nur Batrisya Abdul Rahman,4.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Saharmi Harun, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10 pagi.

Menurutnya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dan pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.

“Setibanya di lokasi kejadian semua mangsa didapati tersepit di dalam kereta.

“Kita mengambil lebih 30 minit untuk mengeluarkan semua mangsa sebelum dibawa ke hospital,” katanya.

Difahamkan, semua tujuh mangsa yang menaiki Proton Persona dari arah Gua Musang menunggu ke Kuala Krai dikatakan cuba memotong lori tetapi gagal sebelum bertembung dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Pertembungan itu menyebabkan kerosakan teruk terhadap kenderaan mangsa sehingga kesemua penumpang tersepit dan mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan kepala.