KUALA LUMPUR, 21 Januari:

Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman sivil yang difailkan PKR terhadap Perdana Menteri, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan dua pihak lain, berhubung isu kontroversi dana sumbangan RM2.6 bilion.

Ketika membenarkan permohonan Najib bersama tiga yang lain untuk membatalkan saman itu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab memerintahkan kos keseluruhan sebanyak RM30,000 dibayar kepada Najib dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Manakala tambahan RM10,000 masing-masing dibayar kepada 1MDB dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam penghakiman lisannya, Mohd Zaki berkata, plaintif pertama, PKR sebagai sebuah parti tidak mempunyai locus standi untuk memulakan saman itu, kerana ia perlu difailkan melalui pegawai awam parti terbabit.

Antara alasan lain ialah mahkamah tiada bidang kuasa untuk mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) terbatal dan tidak sah.

“Tiada klausa munasabah diberikan plaintif kepada defendan ketiga (1MDB), kerana afidavit plaintif sekadar mengandungi khabar angin, jadi ia tidak boleh dipercayai.

“Mahkamah juga tidak diberi kuasa oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengisytiharkan parti (BN) adalah haram,” katanya yang menjelaskan alasan bagi membenarkan Tengku Adnan membatalkan saman itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Najib, Datuk Hafarizam Wan Harun menegaskan, isu mengenai dana RM2.6 bilion perlu dihentikan, susulan keputusan mahkamah hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua yang turut hadir di mahkamah berkata, perbincangan akan diadakan dan rayuan akan difailkan dalam tempoh 30 hari, mulai hari ini.

Ogos lalu, PKR bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wakil Parti Amanah Negara, Dr Dzulkefly Ahmad, bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail serta Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dan Tian Chua, memfailkan saman sivil terhadap Najib dan tiga yang lain, dengan mendakwa Perdana Menteri melakukan kesalahan pilihan raya, susulan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) berhubung sumbangan kontroversi RM2.6 bilion yang telah dimasukkan ke akaun bank Najib.

Plaintif memohon, antara lain, satu pengisytiharan bahawa 1MDB secara rasuah dan haram membayar wang kepada Najib, selain keputusan PRU13 terbatal dan tidak sah serta perintah lanjutan bagi mengetepikan keputusan untuk 222 kerusi Parlimen.