KUALA LUMPUR, 20 Januari:

Kecoh apabila seorang lelaki yang mendakwa dirinya ahli kumpulan militan Negara Islam (IS) yang membawa bahan letupan, ditahan polis di hadapan ibu pejabat Kementerian Pertahanan (MINDEF), malam tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superitendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.49 malam, suspek mengaku dirinya sebagai ahli kumpulan IS kerana ingin orang-orang penting dari MINDEF datang berjumpa dengannya.

“Suspek yang dikenali, Muhamad Huzaifah Shubli Yassin, menaiki teksi sebelum ditahan pihak polis kerana mendakwa dirinya ahli kumpulan IS dan membawa bom.

“Namun hasil pemeriksaan mendapati, suspek kelihatan tidak waras apabila memberitahu polis bahawa beliau mendapat titah daripada Yang Dipertuan Agong untuk berjumpa orang-orang penting MINDEF bagi membincangkan masalah negara,” kata beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam tangkapan itu, pihak polis merampas ubat tekanan jiwa, pil vitamin, ‘power bank’, tasbih dan beg yang dipercayai milik suspek.

Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang barangan berbahaya dibawa suspek, hanya sebotol air minuman dijumpai didalam teksi yang dinaikinya.