TANAH MERAH, 20 Januari:

Sejak awal Januari lalu polis Kelantan berjaya merampas hampir 40,000 biji pil kuda, heroin, syabu dan daun ketum dengan anggaran nilai sebanyak RM1 juta.

Sehingga kini juga seramai 62 orang pengedar termasuk enam ditangkap dibawah Seksyen Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK).

Selain itu, seramai 279 orang ditahan kerana kesalahan memiliki sementara 650 orang ditahan kerana disyaki sebagai penagih.

Dalam perkembangan terbaru, polis Kelantan juga berjaya merampas 12,528 biji pil kuda bernilai lebih RM250,000 dalam dua operasi berasingan di Rantau Panjang dan Tumpat, kelmarin.

Sepucuk pistol jenis Revolver buatan Taiwan dengan enam butir peluru juga dijumpai di Kok Keli, Tumpat dan dipercayai ada kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah.

Ketika ditemui, pistol berkenaan disembunyikan di dalam stokin dan dibalut dengan plastik hitam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, dua kes terbaru itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam kes pertama, berdasarkan maklumat awam, seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga peniaga burger ditahan selepas dipercayai menggunakan motosikalnya bagi menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sempadan.

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas motosikalnya polis menemui satu beg plastik yang mengandungi 11,980 biji pil kuda,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen, dan Kuarantin (CIQ) Bukit Bunga di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi kedua di Tumpat pada 10 malam, polis membuat pemeriksaan di kereta jenis Proton Satria yang mencurigakan.

“Polis yang mencampuri kenderaan suspek menyebabkan seorang lelaki bertindak melarikan diri ke arah semak berhampiran dan gagal dikesan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu membawa kepada penemuan 548 biji pil kuda bernilai RM10,960,” katanya.