KUALA LUMPUR, 20 Januari:

Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Lodin Wak Kamaruddin berharap siasatan ke atas syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan itu akan selesai tidak lama lagi.

Ini kerana, jelasnya, beliau telah menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya oleh panel Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), hari ini.

“Ia adalah soalan-soalan susah, tetapi saya mampu menjawabnya. Saya harap mereka akan selesaikan siasatan tidak lama lagi,” katanya selepas menghadiri prosiding itu di bangunan Parlimen, hari ini.

Semalam, Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata, Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang merupakan bekas Pengerusi 1MDB selama dua bulan, mungkin dipanggil bagi membantu siasatan jawatankuasa itu.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada hasil prosiding membabitkan Lodin yang akan berakhir hari ini.