KUALA LUMPUR, 20 Januari:

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin bimbang jawatankuasa itu tidak dapat menyiapkan laporan penuh berhubung siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menjelang Mac ini.

Ini kerana, jelasnya, masih ada banyak perkara yang perlu diperhalusi, bagi menghasilkan laporan terperinci dan lengkap berdasarkan prosiding dijalankan.

Hasan berkata, panel itu turut memutuskan untuk memanggil semula bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk menjawab beberapa soalan.

Tambahnya, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh turut akan dipanggil untuk menghadiri sesi pendengaran itu, walaupun beliau hanya memegang jawatan itu selama dua bulan.

“Prosiding itu akan diteruskan dan kami akan cuba selesaikan menjelang Mac, walaupun ada banyak perkara yang perlu dikaji.

“Kami tidak akan terpengaruh dengan media sosial di dalam atau luar negara, kerana laporan itu dibuat berdasarkan apa yang dikeluarkan Ketua Audit Negara dan melalui prosiding terperinci.

“Tetapi, kami akan lakukan yag terbaik untuk menyediakan (laporan itu) menjelang (Mac),” katanya selepas mempengerusikan prosiding membabitkan Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wak Kamaruddin, hari ini.

Ditanya jika dua individu itu akan diberi notis dua minggu untuk menghadiri pendengaran, Hasan bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh sebenar mereka akan dipanggil.

Beliau hanya memberitahu yang prosiding membabitkan dua individu itu akan dilakukan sebelum Mac ini.

“Kami akan panggil mereka berdua (Shahrul dan Bakke) untuk mendapatkan lebih banyak maklumat,” katanya.

Terdahulu, Lodin berharap siasatan ke atas 1MDB akan selesai tidak lama lagi.

Ini kerana, katanya, beliau sudah menjawab semua soalan yang dikemukakan panel PAC, hari ini.

Mengenai prosiding dengan Lodin, Hasan berkata, Pengerusi 1MDB itu telah memberi kerjasama penuh kepada panel PAC dalam prosiding selama dua hari.

“Sama ada ia memuaskan atau tidak, terpulang kepada panel dan bukan saya sahaja, tetapi beliau telah beri kerjasama baik kepada kami,” katanya.