KUALA LUMPUR, 20 Januari:

Ibu bapa perlu tahu tanggungjawab mereka terhadap tindakan anak-anak, khasnya golongan bawah umur yang menunggang motosikal tanpa lesen.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jika ibu bapa membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal, ia perlu disertakan nasihat dan pengawasan, bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang pelajar sekolah menengah yang kehilangan kedua-dua kakinya, selepas digilis sebuah lori pasir di Sungai Panjang, Sabak Bernam, petang Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Siti Nuraisyah Sahrin yang membonceng motosikal jenis Honda EX5 bersama kakak tirinya, Shamim Amira Roslan, 14, dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap.

Motosikal yang dinaiki mangsa bergesel dengan sebuah Perodua Kancil, menyebabkan mangsa terjatuh di tengah jalan dan kakinya digilis sebuah lori dari arah bertentangan.

Lee berkata, ibu bapa perlu memastikan anak mereka mempunyai lesen serta memberi nasihat sewajarnya, bagi mengelakkan anak-anak terlibat dalam kemalangan yang mungkin boleh mendatangkan kecederaan serius atau maut.

“Mereka perlu beri nasihat kepada anak-anak untuk membawa kenderaan secara bertanggungjawab dan membawa kenderaan dengan kebenaran ibu bapa.

“Apabila berlaku kemalangan, ianya sudah terlambat dan tentu akan membawa penderitaan kepada keluarga,” katanya ketika dihubungi.

Tegasnya, kesedaran perlu bermula daripada ibu bapa dan ianya perlu dipertingkatkan, bukan sahaja melalui kerajaan, tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO) melalui pendekatan lebih terperinci.

Jelasnya, Jabatan Keselamatan Jalan Raya perlu memainkan peranan dalam memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk mendidik anak mereka, supaya lebih bertanggungjawab ketika memandu.