KUALA LUMPUR, 20 Januari:

Enam persatuan kebangsaan utama di negara ini menyuarakan bantahan terhadap cadangan pelaksanaan lesen pengedaran tembakau dan keluaran tembakau.

Dalam satu kenyataan hari ini, Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) berkata, persatuan itu yang mewakili lebih 180,000 peruncit, telah mengemukakan petisyen bersama kepada kerajaan untuk menimbang semula cadangan itu.

“Walaupun Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan belum dibuat mengenai perkara itu, MSCSPGA mengemukakan petisyen itu, memandangkan penguatkuasaan berkenaan akan memberi kesan kepada banyak perniagaan di negara ini.

“Kami juga menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan itu, memandangkan keperluan pelesenan yang dicadangkan itu tidak termasuk peruncit di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pada masa sama, persatuan itu turut menyuarakan kebimbangan mengenai proses permohonan yang didakwa akan membebankan peruncit, memandangkan kehadiran Lembaga Kenaf dan Tembakau, agensi di bawah kementerian yang diamanahkan dengan pengeluaran lesen, hanya beroperasi di beberapa negeri.

“Ini mungkin memerlukan peruncit membuat perjalanan jauh ke negeri jiran untuk memohon lesen,” kata MSCSPGA.

Enam persatuan kebangsaan itu terdiri daripada MSCSPGA, Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia, Persatuan Pemilik Restoran Islam Malaysia, Persekutuan Persatuan Saudagar Barangan Runcit Malaysia, Persatuan Pemborong dan Peruncit Islam Malaysia serta Gabungan Persatuan Penjaja-Penjaja Dan Peniaga-Peniaga Kecil Malaysia.