KUALA LUMPUR, 20 Januari:

Bekas model sambilan, Persana Avril Sollunda yang menanggalkan pakaiannya sambil berjalan separuh bogel di Jalan Petaling, diberikan pelepasan bersyarat dengan jaminan kelakuan baik sebanyak RM4,000.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Majistret hari ini, selepas wanita berusia 34 tahun itu mengubah pengakuannya, sebelum perbicaraan kes itu bermula.

Dia mengaku bersalah berkelakuan lucah di tempat awam, dengan menanggalkan pakaiannya di Jalan Petaling, pada 23 April tahun lalu, selepas didakwa enggan membayar bil untuk makanannya.

Apabila pertuduhan dibacakan sekali lagi dalam bahasa Inggeris, dia mengangguk dan mengaku bersalah di hadapan majistret, Nur Aminatul Mardiah Md Nor.

Persana kemudiannya memberitahu mahkamah dia “bukan dirinya ketika itu”, sebelum diminta berhenti bercakap oleh jurubahasa mahkamah, bagi membolehkan prosiding diteruskan.

Menurut fakta kes, Persana enggan membayar bil di Restoran Kim Lian Kee dan berlaku pertengkaran, sebelum dia bertindak menanggalkan baju dan coli serta berjalan di Jalan Petaling dan Jalan Sultan.

“Ya, memang betul saya melakukan perbuatan lucah, tetapi saya tidak sentuh atau beli sebarang benda pada masa itu,” katanya.

Sebanyak 18 gambar ditunjukkan kepada mahkamah sebagai bahan bukti.

Dalam hujahnya, Kelvin Tan yang mewakili Persana berkata, anak guamnya telah mendapat rawatan psikiatrik di beberapa hospital, termasuk Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur, antara 2009 hingga 2015.

“Saya memohon mahkamah membebaskan anak guam saya dengan beberapa syarat mengikut Seksyen 173A (2) Kanun Prosedur Jenayah, dengan mempertimbangkan keadaan kesihatannya.

“Saya harap mahkamah boleh memberinya satu peluang untuk pulih. Ibunya turut hadir di mahkamah hari ini bagi memberi sokongan kepada anaknya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Ahmad Poad bagaimanapun meminta mahkamah memberi hukuman pencegahan, memandangkan kesalahan Persana telah menjadi viral di media sosial.

Nur Aminatul Mardiah kemudiannya membenarkan Persana dilepaskan dengan jaminan berkelakuan baik sebanyak RM4,000 bagi tempoh dua tahun.

Majistret turut mengenakan dua syarat tambahan, iaitu Persana perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran selama sebulan, bagi menjalani ujian air kencing untuk mengesan pengambilan alkohol atau dadah.

“Dalam tempoh dua tahun ini, jika alkohol atau dadah dikesan (dalam darah), anda akan dihadapkan ke mahkamah dan dihukum mengikut pertuduhan asal,” katanya.

Persana hadir ke mahkamah bersama ibunya dan seorang rakan lelaki, pagi tadi.

Dia didakwa di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan, kerana berkelakuan lucah di khalayak amai yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dua daripada rakaman video mengenai perbuatan Persana menanggalkan pakaiannya di Jalan Petaling, tahun lalu, menjadi viral di media sosial.