KUALA LUMPUR, 19 Januari:

Pengunjung pusat beli-belah diingatkan tidak meninggalkan beg di sebarangan tempat, bagi mengelakkan andaian negatif yang boleh menimbulkan keadaan panik.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata, pihak pengurusan pusat beli-belah juga diminta menasihatkan pengunjung supaya tidak meninggalkan beg mereka di tempat awam dan merata tempat.

Peringatan itu dikeluarkan, susulan dua beg galas berisi pakaian yang disangkakan bom dan ditinggalkan di Pusat Beli-belah Pavilion, Ahad lalu.

Sebelum itu, pengunjung di pusat beli-belah Suria KLCC turut gempar, pada Oktober lalu, apabila beg yang ditinggalkan sekumpulan pelajar disangkakan bom.

“Jangan tinggalkan beg di tempat awam, kerana ia boleh menimbulkan keraguan dan perspektif negatif, sehingga menyebabkan keadaan panik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Beliau turut memberi amaran kepada media dalam talian supaya tidak menyebarkan berita tanpa maklumat sahih daripada pihak polis.