KOTA BHARU, 18 Januari:

Seorang ejen penghantaran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi suapan kepada anggota polis supaya dorongan melepaskan enam warga Myanmar yang ditahan, Rabu lalu.

Tertuduh, Azman Awang, 49, dituduh memberi rasuah sebanyak RM1,700 kepada seorang ejen kerajaan Malaysia yang bertugas di Ibu Pejabat Cawangan Risikan Batalion 7 Briged Tenggara PGA, Kuantan sebagai dorongan untuk melepaskan enam warga Myanmar iaitu Sai Thein Win, Nay Win Tun, Thet Oo Tei Win, Kyaw Lwin Pu, Auwg Thein Thoung dan Naue War Oo yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, pada jam 9.30 malam, 13 Januari 2016.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000.

Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Yusoff Yunus.

Mohd Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua orang penjamin setelah merayu supaya ikat jamin dikurangkan.

Tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 17 (6) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Shahidah Muslimah Roslan menawarkan tertuduh dengan jaminan RM10,000 dengan dua orang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes tersebut ditetapkan 22 Februari 2016.