KUALA LUMPUR, 18 Januari:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran tegas kepada semua pihak termasuk pengamal media dalam talian (media online) untuk tidak melaporkan berita yang menggunakan sumber yang tidak sahih.

Menurutnya, laporan berhubung aktiviti keganasan atau Negara Islam (IS) di dalam negara yang menggunakan sumber yang tidak diketahui atau sahih boleh menimbulkan kerunsingan orang ramai.

Katanya, tindakan media online ini adalah seperti menyebarkan khabar angin dengan hanya menggunakan sumber.

“Kita tidak tahu sumber mana yang diambil dan melaporkan. Mana tahu maklumat yang diperolehi dari penjual mee dan kita mahu tahu mana sumber itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Khalid berkata, sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengeluarkan amaran kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan khabar angin yang boleh menimbulkan ketakutan orang ramai.

“Siapa juga yang mengulangi perkara ini selepas amaran dikeluarkan, kami akan ambil tindakan ke atas sesiapa sahaja.

“Ini perkara sensitif dan bukan untuk dipermainkan,” katanya.

Beliau berkata, susulan insiden di Jakarta, polis meningkatkan tahap berjaga-jaga ke tahap yang tertinggi.

Khalid berkata, tahap berjaga-jaga itu akan diteruskan sehingga perlu selain memberi keyakinan kepada masyarakat.