KUALA LUMPUR, 17 Januari:

Gempar apabila beg yang disangkakan mengandungi bom, rupanya hanya berisi pakaian yang ditinggalkan oleh pengunjung di pusat membeli-belah terkemuka, Pavillion, Kuala Lumpur, tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, beg pakaian tersebut ditinggalkan oleh pelancong Korea Selatan untuk membeli belah dan setelah pemeriksaan serta siasatan dibuat, polis melepaskan mereka.

“Kejadian berlaku pada jam 12.30 tengahari, di mana pihak keselamatan pusat membeli belah menjumpai dua beg galas yang diletakkan dibawah kerusi.

“Setelah dimaklumkan kepada pihak polis, Unit Pemusnah Bom hadir untuk menjalankan pemeriksaan.

“Siasatan mendapati beg berkenaan hanya mengandungi pakaian yang dimiliki oleh dua orang pelancong Korea, masing-masing berumur dalam lingkungan 20 dan 40 tahun. Tidak lama kemudian, pemilik beg datang menuntut beg mereka,” jelasnya.

Bagaimanapun, pihak polis menafikan ada melakukan proses pemindahan orang ramai ketika kejadian berlaku sepertimana yang dilaporkan beberapa media.