KUALA LUMPUR, 16 Januari:

Perkongsian maklumat yang diambil dari individu lain tanpa kesedaran atau pengetahuan pemilik yang mempunyai unsur hasutan serta fitnah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang, kata Pakar Undang-Undang, Foong Cheng Leong.

Menurutnya, Malaysia sememangnya mempunyai undang-undang komunikasi yang mengandungi kesalahan yang melibatkan media sosial namun kerajaan masih menghadapi kesukaran untuk mengesan semua aktiviti yang berlaku.

“Berkongsi atau menyebarkan sesuatu maklumat yang berbaur hasutan atau fitnah merupakan satu kesalahan yang jelas di sisi undang-undang. Melakukan perkara tersebut dengan niat atau tanpa niat adalah sama sekali tidak relevan di dalam kes melibatkan media sosial.

“Malaysia memang mempunyai undang-undang komunikasi tetapi sukar bagi kerajaan untuk mengawal pergerakan aktiviti media sosial kerana kita tidak mempunyai pihak yang ditugaskan untuk duduk dan pantau setiap data yang keluar dan masuk setiap hari,” kata beliau ketika dihubungi oleh The Rakyat Post hari ini.

Tambahnya lagi, setiap pengguna media sosial harus mengambil langkah berjaga-jaga selain bergantung kepada undang-undang negara kerana mereka perlu memahami bahawa adalah mustahil bagi pihak berkuasa untuk mengesan setiap pegerakan aktiviti di laman media.

“Pengguna perlu berhati-hati dalam menggunakan platform ini kerana lambakan media sosial yang semakin banyak membuatkan pihak berkuasa sukar untuk mengesan salah laku pesalah.

“Namun begitu, fungsi media sosial tidak boleh dikurangkan kerana platform ini sepatutnya dilihat sebagai satu pendekatan yang sihat. Jika kita kurangkan ruangan ‘komen’ di Facebook, maka tiada perbincangan yang sihat akan berlaku,” jelasnya.

Bagaimanapun bagi Pengerusi RIGHTS Foundation, Mohd Yusmadi Yusof, undang-undang yang diguna pakai di Malaysia sekarang perlu diperbaharui mengikut perkembangan semasa serta bersifat lebih khusus bagi membendung salah guna media sosial.

“Setakat ini undang-undang di Malaysia lebih bersifat umum sehingga menyebabkan salahguna dikalangan pengguna media social. Undang-undang perlu seiring dengan dinamik media sosial.

“Tidak dinafikan bahawa trend media sosial di Malaysia masih baru namun fungsi undang-undang perlulah diperbaharui dan bersifat khusus dalam menghadapi kes yang melibatkan penggunaan media sosial,” kata beliau yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Balik Pulau.

Jelasnya lagi, media sosial secara lumrahnya tidak perlu dikawal kerana fungsinya dilihat memberi lebih banyak kebaikan kepada orang ramai, tetapi mungkin perlu dibawa ke arah lebih positif.

“Seseorang itu tidak boleh menjangkakan bahawa sesuatu maklumat yang dikongsi iboleh membawa mudarat kepada orang lain, ini kerana dunia maya bersifat dinamik dan berada di luar kawalan manusia.

“Adalah lebih efektif dan praktikal jika undang-undang negara diperhalusi menjadi khusus untuk mengadili kes-kes seumpama ini,” katanya.