PUTRAJAYA, 15 Januari:

Kerajaan tidak membayangkan sebarang kenaikan dalam Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, pada peringkat ini, kerajaan mengambil kira kebajikan dan keupayaan rakyat.

“Saya tidak fikir rakyat mempunyai keupayaan untuk menyerap sebarang tambahan atau kenaikan GST…kenaikan GST tidak termasuk dalam perancangan…tidak dibincangkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan merancang untuk menaikkan GST, selepas muncul sebagai penyelamat kedudukan ekonomi dan kewangan negara di peringkat makro.

Malaysia memperkenalkan GST pada kadar enam peratus, mulai 1 April tahun lepas.

Terdahulu, Najib mempengerusikan tiga mesyuarat, iaitu bersama penganalisis ekonomi, peneraju industri dan anggota Jawatankuasa Khas Ekonomi untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan pengubahsuaian Bajet 2016.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.