SHAH ALAM, 15 Januari:

Penaja-penaja yang berhasrat untuk menaja pasukan bola sepak Selangor diingatkan bahawa mereka hanya menaja bagi membantu pasukan dan bukannya memiliki pasukan tersebut.

Penyokong pasukan Selangor, Zul Hazmi Yunus berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mana-mana pihak menaja pasukan Selangor tetapi tradisi yang sudah diwarisi berpuluh tahun perlu dikekalkan.

“Berpuluh tahun Selangor orang kenal dengan merah kuning. Jatuh bangun pun kekal dengan merah kuning. Kalau tiba-tiba tukar jadi hijau, haram jadah namanya.

“Mereka menaja, bukan memiliki. Pasukan bola sepak Selangor ini milik semua orang Selangor,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.

Baru-baru ini, pemilik syarikat D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dilaporkan berjumpa dengan Pengurus Selangor, Amirudin Shari bagi membincangkan soal penajaan pasukan bola untuk musim 2016.

Dengan nilai tajaan yang dikatakan mencecah RM15 juta, Aliff meletakkan 20 syarat untuk dipenuhi oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) antaranya mengecat Stadium Shah Alam dengan warna hijau serta menggunakan nama jolokan ‘Terlajak Gol’ bagi menggantikan The Red Giants.

Pendapat yang sama turut dikongsi Kamarul Ehsan yang menegaskan sesebuah pasukan bola sepak itu perlu mempunyai jatidirinya sendiri dan tidak wajar dijual hanya disebabkan faktor kewangan.

“Bagi saya, tradisi ini suatu yang kita bawa dari dulu, dari zaman datuk kita sampai sekarang. Benda itu sudah jadi sebati. Sebut merah kuning mesti ingat Selangor, bila jadi hijau, mana pergi jatiditi Selangor?

“Promosi untuk nama pula kalau jadi bahan lawak buat apa? Kita bukan nak tengok sarkis, kita nak tengok bola,” tegasnya.

Sementara itu, Farid Aswan Dahhari menyifatkan usaha beberapa syarikat berlumba-lumba untuk menaja pasukan bola sepak sesuatu yang baik untuk memajukan sukan tersebut dan juga perniagaan mereka.

Bagaimanapun, pasukan bola sepak seperti Selangor yang tidak mempunyai masalah kewangan berbanding pasukan lain tidak seharusnya berada dalam keadaan terdesak untuk menerima tajaan dengan syarat-syarat yang merepek.

“Perkara macam ini sangat bagus, untuk bola sepak kita. Liga kita patut dah ada benda ini lama dulu. Hari ini, kita sudah mula sampai tahap itu tetapi bab kena syarat itu merepek jugalah sampai kena tukar warna stadium.

“Dia sponsor berapa sangat? Pasukan lain mungkin terdesak nak dapatkan dana tetapi Selangor saya percaya pasukan yang ada duit. Buat apa nak gadai maruah.

“Warna merah kuning kat Stadium Shah Alam itu ibarat maruah dan identiti Selangor. Tak perlu tukar. Cari penaja lain yang tau bola sepak dan menghormati tradisi sesebuah kelab lagi baik,” tegasnya.

Tambah Farid, jika sesebuah pasukan itu menolak tajaan demi menjaga tradisi mereka, pasukan tersebut akan lebih dihormati penyokong yang lebih mementing imej dan tradisi.