JAKARTA, 14 Januari:

Perkembangan terkini letupan dan tembakan yang berlaku di pusat bandar Jakarta, hari ini (waktu tempatan):

2.30 petang

Jurucakap polis di Jakarta, Kolonel Muhammad Iqbal berkata, tujuh terbunuh, termasuk empat penyerang dalam serangan di ibu negara Indonesia itu.

Beliau berkata, polis telah menemui mayat-mayat penyerang terbabit, namun tidak pasti jika ada lagi mayat penyerang.

12.55 tengah hari

Seorang wartawan Associated Press terdengar satu letupan dari sebuah kafe berhampiran Starbucks yang diserang sebelum ini. Letupan itu berlaku, selepas kira-kira 25 anggota polis anti-keganasan menyerbu kafe berkenaan.

Tiada butiran lanjut mengenai apa yang berlaku ke atas anggota keselamatan itu, tetapi selepas letupan itu, beberapa anggota polis dan perubatan yang berpakaian serba putih, kelihatan berlari ke arah kafe terbabit.

Dua ambulans turut tiba di tempat kejadian dan bersiap sedia.

12.50 tengah hari

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang sedang mengadakan lawatan kerja ke bandar Cirebon, di Jawa Barat, mengarahkan pasukan keselamatan memburu suspek-suspek terbabit dan rangkaian di sebalik serangan di Jakarta itu.

Jokowi berkata: “Saya telah terima laporan mengenai letupan di Jalan Thamrin, Jakarta. Kami mengucapkan takziah kepada mangsa, tetapi kami juga mengutuk serangan itu yang mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat.”

Susulan serangan itu, Jokowi menamatkan lawatannya ke Jawa Barat dan pulang ke ibu negara.

12 tengah hari

Rangkaian Indonesia, TVOne melaporkan, sekurang-kurangnya tiga lagi letupan berlaku di Jakarta.

Letupan itu menggegarkan kawasan kejiranan Cikni, Silpi dan Kuningan, berhampiran Kedutaan Turki dan Pakistan.

Tiada kematian dilaporkan dalam letupan itu yang berlaku selepas tiga letupan di pusat bandar Jakarta, sebelum ini.

11.45 pagi 

Saksi-saksi memberitahu, tiga letupan bim berlaku di kafe Starbucks, di pusat bandar Jakarta.

Menurut seorang pengawal keselamatan bank, beliau ternampak sekurang-kurangnya lima penyerang, termasuk tiga pengebom berani mati yang meletupkan diri mereka dalam Starbucks.

Tri Seranto memberitahu AP, beliau ternampak tiga lelaki memasuki Starbucks dan meletupkan diri, seorang demi seorang. Jelasnya, dua lagi penyerang yang membawa pistol, memasuki sebuah pondok polis, di mana beliau terdengar tembakan dilepaskan. Beliau kemudiannya melihat seorang anggota polis terbunuh, manakala tiga lagi individu cedera parah.

Katanya, beliau tidak cedera dalam letupan itu, kerana berdiri jauh dari tempat kejadian, tetapi masih boleh menyaksikan serangan itu pada jam 10.30 pagi.

Jelasnya, dua penembak itu kemudiannya dikejar polis, ketika mereka melarikan diri.

11.30 pagi

Seorang wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Jakarta, Jeremy Douglas, memuat naik status di Twitternya mengenai satu letupan besar di hadapan pejabat PBB, diikuti enam letupan dan tembakan.

Menurutnya, polis menasihatkan orang ramai supaya menjauhi tingkap-tingkap bangunan.

Letupan itu berlaku di hadapan Pusat Beli-belah Sarinah di kawasan yang turut menempatkan banyak hotel-hotel mewah, kedutaan dan pejabat.