PETALING JAYA, 14 Januari:

Orang Melayu perlu memastikan orang “bodoh” tidak patut dibenarkan menjadi menteri, kata Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, mereka perlu menjadikan ia satu budaya untuk menggalakkan individu “terbaik dan paling bijak”.

“Tetapi, untuk bertahun-tahun lamanya, kita hidup dalam budaya di mana hanya yang bodoh menjadi menteri,” katanya dalam forum bertajuk “Mampukah parti pembangkang meraih undi Melayu pada PRU14”, semalam.

Kenyataan Rafizi itu berpunca daripada pandangan beliau mengenai ketidakseimbangan kawalan ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu.

Ketika diminta mengulas mengenai isu dan dasar-dasar yang boleh merapatkan jurang ekonomi itu, Rafizi berkata, ketidakseimbangan dan jurang itu adalah “warisan” yang ditinggalkan penjajah Malaya, sejak zaman pra-kemerdekaan.

Ketika itu, merujuk 1920-an dan 1930-an, Rafizi mendakwa penjajah mencipta jurang itu, apabila mereka menempatkan orang Melayu di kampung, orang Cina di bandar dan kaum India di ladang, selain menyediakan pendidikan yang lebih baik untuk orang Cina berbanding kaum Melayu.

“Jadi, ia bermula daripada dasar penjajah kita, tetapi selepas 60 tahun, kita gagal memperbaiki perbezaan yang ditinggalkan mereka. Wujud jurang yang hampir sama hari ini.

“Soal ekonomi, bagi saya, akhirnya akan kembali kepada pendidikan, akses kepada pendidikan, kualiti pendidikan dan jenis pelajar yang kita lahirkan.

“Sekarang, sistem kita melahirkan pelajar yang kurang yakin, serta mempunyai budaya atau mentaliti mereka perlu bergantung kepada kuasa dan sebagainya.

“Tidak ada campur tangan dasar ekonomi yang dapat menutup perbezaan itu,” katanya sambil menambah, orang Melayu muda yang mempunyai merit, perlu dibiasakan untuk membina diri mereka.

Beliau berkata, bagi Pakatan Harapan, isu itu perlu ditangani dengan memfokuskan cara-cara bagi memastikan usahawan Melayu yang layak dan mempunyai merit, diberi akses kepada modal, aset dan tenaga kerja.

“Ini adalah gambaran lebih besar. Kerana, jika tiada akses, orang Melayu muda yang pintar tidak akan ada peluang,” katanya.