KUALA LUMPUR, 13 Januari:

Pemilik syarikat D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dilihat bakal menjadi usahawan kosmetik kedua selepas Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menujukkan minat menaja pasukan bola sepak tempatan.

Tatkala Dr Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida memilih pasukan kelahirannya, Kelantan, Aliff yang popular dengan dengan tagline ‘Terlajak Laris’ pula menyatakan minat untuk menaja Juara Piala Malaysia 2015, Selangor.

Desas-desus penajaan D’Herbs Holding tersebut mula bertiup kencang selepas Aliff mengadakan pertemuan dengan Pengurus Selangor, Amirudin Shari pada petang tadi.

Penajaan yang bakal dikeluarkan oleh D’Herbs dikatakan bernilai RM15 juta serta meletakkan 20 syarat untuk dipenuhi oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Antara syarat yang diletakkan ialah mengecat Stadium Shah Alam dengan warna hijau serta menggunakan nama jolokan ‘Terlajak Gol’ bagi menggantikan The Red Giants.

“Benda ini bukan satu jumlah yang kecil dia jumlah sangat besar dan saya mengharapkan ia dapat memberikan impak kepada jenama saya.

“Apa-apa pun saya masih belum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan pihaknya boleh bersetuju 80 peratus daripada 20 syarat yang ditetapkan oleh pihak D’Herbs tetapi masih ada beberapa perkara yang perlu diteliti dan dinilai pengurusan FAS.

“Hari ini kita bertemu dengan D’Herbs dan sudah pasti kita terutamanya kalau ‘deal’ ini berjaya.

“Namun saya rasa masih terlalu awal sebab ini pertemuan pertama namun kita tak punya banyak masa,” ujarnya.