PENGKALAN CHEPA, 12 Januari:

Tiada kes pelajar “lapar” di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), susulan pelaksanaan Skim Pinjaman Jangka Pendek Bantu Kos Sara Hidup Mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Abdul Aziz Ab Latif berkata, tiada aduan diterima UMK berhubung pelajar yang terpaksa “berlapar”, kerana masalah kewangan.

Bagaimanapun, beliau berkata, arahan sudah dikeluarkan untuk mengenal pasti pelajar yang benar-benar menghadapi masalah kewangan serta melaporkan kepada pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni untuk diberikan bantuan.

Katanya, UMK juga akan memastikan tiada pelajar yang gagal menamatkan pengajian, disebabkan masalah kewangan.

Menurut Abdul Aziz, UMK telah menyediakan pelbagai platform, termasuk Skim Pinjaman Jangka Pendek Tabung Kebajikan Pelajar dan Program Bekerja Sambilan yang ditubuhkan sejak 2007, bagi membantu pelajar mengalami masalah kewangan.

“Sebanyak RM500 dan RM1,000 diperuntukkan kepada mahasiswa yang memerlukan wang, ekoran kos sara hidup yang tinggi.

“Peruntukan wang ini adalah untuk mereka membeli barangan keperluan dan digunakan secara berhemah,” katanya pada Majlis Penyerahan Zakat oleh Penolong Naib Presiden Takaful Ikhlas Sdn Bhd, Nor Azmi Ishak di Kampus Kota UMK.

Abdul Aziz berkata, UMK turut menyediakan pelbagai inisiatif lain untuk menjaga kebajikan pelajar, termasuk Skim Pelajar Bekerja di Kampus dan bantuan wang zakat untuk golongan asnaf daripada tabung amanah pelajar serta menyediakan peluang berniaga di dalam kampus.

Beliau berkata, UMK turut memperuntukkan RM90,000 di bawah Bantuan Pelajaran Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) dalam bentuk biasiswa secara sekaligus, sejak tahun lalu.

“Bantuan ini berjumlah RM3,000 seorang, membabitkan 30 pelajar yang layak menerima bantuan biasiswa dan memiliki pencapaian akademik cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa pelajar yang kesempitan wang supaya tampil mendapatkan bantuan universiti.

“Masalahnya sekarang, terdapat segelintir pelajar malu dan segan untuk tampil memberitahu pihak pengurusan universiti tentang masalah tidak cukup wang dan kelaparan.

“Ini antara sebab utama berlakunya kes-kes pelajar kelaparan seperti yang berlaku di beberapa universiti awam, seperti yang dilaporkan media massa baru-baru ini,” katanya.