KUALA LUMPUR, 12 Januari:

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menasihatkan penjawat awam berstatus kontrak supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan berita tidak sahih, kononnya perkhidmatan mereka akan ditamatkan menjelang Disember tahun ini.

Timbalan Presiden II Cuepacs, Mohd Shaman Jaes berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa telah menafikan berita itu dan menegaskan ia adalah palsu serta fitnah daripada individu tidak bertanggungjawab.

Mohd Shaman berkata, berita tersebut sengaja diadakan bagi membangkitkan sentimen di kalangan penjawat awam terhadap kerajaan.

“Setiap masa akan ada sahaja isu yang sengaja diada-adakan oleh pihak tidak bertanggungjawab semata-mata untuk memecahbelahkan hubungan baik penjawat awam dengan kerajaan.

“Sangat penting bagi penjawat awam untuk memastikan berita yang diterima adalah sahih dan dalam hal ini, mereka seharusnya mendapat kepastian daripada Cuepacs atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) daripada terus mempercayainya dan kemudian menjadikannya viral di media sosial,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, sebuah portal melaporkan, penjawat awam yang berstatus kontrak tidak akan disambung dan ditamatkan perkhidmatan sepenuhnya, bermula Disember ini.

Menurut portal yang memetik kenyataan sumber itu, maklumat berkenaan diperoleh daripada satu mesyuarat pada Isnin lalu.

Mohd Shaman berkata, kebajikan dan nasib semua penjawat awam berjumlah 1.6 juta, termasuk yang berstatus kontrak, tetap mendapat pembelaan sewajarnya daripada Cuepacs dan kerajaan.

“Jika benar pun kerajaan mahu menamatkan kontrak mereka, sudah pasti perkara itu dibincangkan bersama Cuepacs, bukan mudah mahu tamatkan begitu sahaja,” katanya.

Ali dalam kenyataannya menegaskan, kerajaan tidak berhasrat menamatkan khidmat kakitangan kontrak tahun ini.