KUANTAN, 12 Januari:

Dua pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, esok, atas pertuduhan rasuah berkaitan perlombongan bauksit.

Jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sehingga kini, SPRM telah menahan enam pegawai PTG Pahang, termasuk seorang pegawai kanan pada 6 dan 11 Januari lalu, bagi membantu siasatan kes rasuah perlombongan bauksit.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, suspek ditahan kerana dipercayai terlibat dalam isu penjualan Borang Pemindahan Mineral (Borang 13D) kepada pengusaha lombong haram.

Borang yang dikenali sebagai ‘docket’ oleh penduduk setempat itu, dikeluarkan PTG dengan bayaran RM1, namun siasatan SPRM mendapati, ia dijual antara RM150 dan RM200 setiap satu.

SPRM turut menahan tiga orang awam, termasuk seorang wanita yang dipercayai menjadi ‘orang tengah’ dalam pembayaran wang rasuah bagi melindungi perlombongan bauksit secara haram.