GEORGE TOWN, 12 Januari:

Seorang wanita warga Indonesia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), selepas mendakwa terdapat bom dalam bagasinya.

Dalam insiden jam 9.20 pagi tadi, wanita terbabit sedang melalui pemeriksaan bagasi, apabila mendakwa bagasinya mengandungi bom.

Wanita itu yang sepatutnya menaiki penerbangan Lion Air ke Kuala Lumpur, pada jam 9.45 pagi, sebelum meneruskan perjalanan ke Jakarta, ditahan polis bantuan sebelum diserahkan kepada polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Lai Fah Hin, imbasan awal ke atas bagasi wanita itu bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang objek menyerupai bom.

Wanita terbabit kemudiannya memberitahu polis yang dia sekadar bergurau, namun polis bantuan tetap menahannya untuk disoal siasat.

“Hasil pemeriksaan badan wanita itu tidak menemui barangan menyalahi undang-undang dan ujian air kencingnya juga negatif dadah.

“Konsulat Indonesia telah dimaklumkan berhubung perkara itu,” kata Lai menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Wanita itu kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana ugutan jenayah dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau, esok.

Lai menasihatkan penumpang pesawat supaya tidak mengeluarkan kata-kata berbentuk ugutan atau mampu mengancam serta membahayakan keselamatan penumpang dan pesawat.

Menurutnya, sejak tahun lalu sehingga hari ini, terdapat empat kes membabitkan penumpang mengeluarkan kata-kata berbentuk ugutan dan terdapat bom dalam bagasi mereka, ketika proses daftar masuk bagasi di LTAPP, hanya disebabkan mereka tidak puas hati kerana dikenakan bayaran lebih untuk bagasi melebihi had.

Jelasnya, jika sabit kesalahan mengeluarkan ugutan atau ancaman sedemikian, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.