JOHOR BARU, 11 Januari:

Polis sedang menyiasat aktiviti jenayah seorang samseng terkenal, termasuk memiliki senjata api dan bom tangan, susulan penahanannya minggu lalu.

Suspek yang terkenal dengan gelaran “Roy” dalam dunia penjenayah di Johor Baru, kini dalam tahanan polis sementara menunggu siasatan selesai.

Difahamkan, suspek berusia 33 tahun itu mempunyai satu siri rekod jenayah dan berada dalam senarai pemerhatian polis.

Menurut sumber, suspek terbabit baru dilepaskan dari penjara, selepas didakwa untuk satu kes rompakan.

“Suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau dan kini berada dalam senarai pemerhatian polis, susulan pembebasannya,” kata sumber itu kepada The Rakyat Post.

Pada 31 Disember lalu, sepasukan polis dari Daerah Johor Baru Selatan memintas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda, di mana suspek didapati bersama seorang rakan sejenayahnya di Taman Sentosa.

Hasil pemeriksaan mendapati, suspek itu mempunyai sepucuk pistol automatik Colt .45 dengan beberapa butir peluru.

Siasatan lanjut menunjukkan, SUV Mazda CX-9 itu dilaporkan hilang di Bandar Baru Uda, Ogos tahun lalu.

Kedua-dua suspek itu dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan jenayah.

Rakan sejenayah samseng itu yang berusia 33 tahun, telah ditahan polis, kerana mereka dipercayai ada kaitan dengan beberapa kes, membabitkan pemilikan senjata api, rompakan bersenjata dan kegiatan jenayah ganas.

Sumber itu mendedahkan, polis sedang menyiasat suspek utama yang dikatakan sering membawa senjata api dan pelbagai senjata lain, ketika berada di khalayak ramai.

“Polis mempunyai maklumat suspek itu adalah anggota Gang 77 yang aktif dan terkenal dengan perbuatannya menayang senjata apinya di khalayak ramai.

“Penyiasat turut menyiasat kaitan suspek dengan beberapa kes, termasuk dakwaan dia mempunyai bom tangan yang digunakan untuk mengancam musuh-musuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, ACP Sulaiman Salleh mengesahkan polis telah memulakan siasatan ke atas kedua-dua suspek, kerana memilik senjata api haram.

“Kami telah melanjutkan tempoh tahanan reman kedua-dua suspek dan memulakan siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

“Pada masa sama, penyiasat turut menyiasat suspek utama kerana dia terkenal mempunyai kaitan dengan dunia penjenayah dan satu siri rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sulaiman berkata, pistol automatik Colt .45 yang dirampas itu telah dihantar ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk ujian balistik.

“Kami akan tunggu keputusan balistik untuk lihat sama ada pistol itu telah digunakan dalam mana-mana kes tembak di negara ini,” katanya.

Gang 77 yang juga dikenali sebagai Double 7, dipercayai mempunyai lebih seribu ahli dan beroperasi di Semenanjung Malaysia.

Ia ditubuhkan kira-kira 10 tahun lalu sebagai sebuah pergerakan bukan kerajaan untuk melindungi kepentingan masyarakat Melayu dan majoriti ahlinya adalah belia.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, kumpulan itu diletakkan dalam senarai pemerhatian polis, kerana ada di kalangan ahlinya yang terlibat dalam pelbagai jenayah, khansya berkaitan senjata api.