KUALA LANGAT, 11 Januari:

Kerajaan Selangor menangguhkan pembaharuan dan permohonan lesen penjualan rokok elektronik atau vape, sehingga keputusan sama ada ia diharamkan atau sebaliknya, diumumkan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah menghentikan sementara serbuan ke atas premis-premis penjualan vape di seluruh Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, penangguhan itu berkuat kuasa 1 Januari lalu, kerana kerajaan negeri masih mengumpul maklumat mengenai vape dan mendapatkan pandangan semua pihak, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita masih berbincang mengenai isu ini dan sedang mengumpul maklumat berkaitan, bagi memastikan ia mencakupi segenap faktor serta implikasinya kepada masyarakat.

“Langkah ini adalah untuk memastikan keputusan yang akan dibuat dapat menjaga kepentingan semua pihak dan adil,” katanya ketika mempengerusikan bengkel khas bagi membincangan isu penjualan vape, hari ini.

Bengkel tiga hari yang bermula semalam itu, disertai wakil-wakil Jabatan Kesihatan Selangor, Jabatan Mufti Selangor, Persatuan E-Vaporizer dan Tembakau Alternatif Malaysia serta beberapa badan bukan kerajaan.

Dr Daroyah berkata, tiada tempoh ditetapkan untuk mengumumkan keputusan itu, namun tegasnya, ia akan dibuat, setelah semua pihak terlibat berpuas hati dengan sesi perbincangan yang dijalankan.

Walaupun beberapa negeri lain telah mengharamkan penjualan vape, baru-baru ini, katanya, Kerajaan Negeri Selangor masih memerlukan masa dan tidak akan terburu-buru membuat keputusan, tanpa mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Menerusi bengkel perbincangan hari ini, segala maklumat yang kita dapat akan dirumuskan dan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dibentang dan diteliti.

“Hasil pembentangan itu akan diumumkan Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali),” katanya.