KOTA BHARU, 11 Januari:

Impian Datuk Seri Dr Hasmiza Osman untuk mewarnakan Stadium Sultan Muhamad ke-IV kepada warna merah jambu atau pink bakal terlaksana apabila persetujuan daripada Pengerusi Perbadanan Stadium Kelantan (PSK), Datuk Ahmad Yakob sudah diperolehi oleh Persatuan Bolasepak Negeri Kelantan (Kafa), hari ini.

Persetujuan itu diberikan oleh Ahmad Yakob hasil perjumpaan yang dilakukan bersama Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa di pejabatnya di Kota Darul Naim, hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan terbabit adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Belia dan Sukan, Datuk Abd Fattah Mahmood dan Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor.

Menurut Annuar perjumpaan yang diadakan itu adalah bagi memberi takkimat mengenai apa yang berlaku sekarang termasuklah hasrat penaja Kafa, Dr Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Dr Vida untuk mengubah stadium kepada warna merah jambu.

“Alhamdulillah…Menteri Besar tidak ada halangan untuk dilakukan pembaikan stadium termasuk pertukaran cat kepada merah jambu.

“Sebelum ini Kafa sudah jelaskan kepada Dr Vida yang urusan mengenai stadium di luar bidang kuasa Kafa namun hasil rundingan yang dilakukan hari ini nampaknya kerajaan negeri bersetuju,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ahmad Yakob, hari ini.

Sementara itu, Abd Fattah pula memberitahu pada dasarnya kerajaan negeri sudah bersetuju dengan apa yang ingin dilakukan oleh Dr Vida, tetapi akan melihat bagaimana kaedah yang bakal dilakukan.

Beliau berkata berkaitan soal itu, Dr Vida diharap dapat buat perbincangan lanjut dengan Kafa.

Katanya kerajaan negeri melalui PSK perlu tahu kaedah pelaksanaannya dan bagaimana bayaran akan dilakukan.

“Sekiranya Dr Vida mahukan kerajaan lakukan, kita perlu ada sebut harga tetapi kalau beliau mahukan kerajaan negeri uruskan, itu lainlah pula. Dalam hal ini banyak prosedur yang berbeza.

“Cadangan supaya ada pintu berlainan untuk wanita, kanak-kanak dan keluarga amat disokong,” katanya.

Semalam, kerajaan negeri amat menyokong pengubahsuaian stadium keramat di Kota Bharu itu kerana warna merah jambu sudah pasti menjadikan stadium terbabit antara mercu tanda baru Kelantan sesuai dengan Tahun Melawat Kelantan 2016.