PETALING JAYA, 8 Januari:

Keberanian seorang pengawal keselamatan berjaya menyelamatkan sebuah premis pengurup wang berlesen daripada disamun sekumpulan penjenayah, di Dataran Mentari, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, tiga individu yang memakai topi keledar cuba menyamun premis tersebut dengan menggunakan senjata parang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek cuba menyerang pengawal  keselamatan namun sempat mengelak dan mencapai senapang sebelum melepaskan satu das tembakan.

Menurutnya, tembakan tersebut terkena ke arah kaki kiri salah seorang suspek.

“Dua rakan suspek yang melihat kejadian melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Yamaha LC.

“Suspek yang berusia 20 an itu di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan,” katanya ketika di temui di lokasi kejadian.

Mohd Zani berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan polis masih menyiasat penglibatan suspek dalam kes jenayah.

Menurutnya, polis akan meneliti video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan dua rakan suspek yang melarikan diri.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada beberapa lagi individu yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut kerana menyamun.