KUALA LUMPUR, 7 Januari:

Apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Dr Hasmiza Osman hari ini ialah untuk Allahyarham dua anaknya yang sudah meninggal dunia akibat kebakaran beberapa tahun lalu.

Menurut beliau, langkah untuk menaja pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW) ekoran arwah anaknya pada suatu ketika dahulu merupakan peminat sukan tersebut.

“Saya pernah menanam satu impian sebenarnya saya nak mempunyai pasukan bola sepak saya sendiri, apabila arwah anak saya memang dia memimpin pasukan bola sepak, ada kumpulan dia sendiri yang saya sendiri pada masa itu tidak tahu, ada baju dan ada penaja dia sendiri. Saya terkejut anak saya ada (semua itu).

“Sehinggalah saya nak buat padang bola untuk mereka. Saya nak beli satu taman itu, saya nak beli dan buat padang bola untuk mereka. Dan saya rasa (arwah) anak saya memang bersama saya, walaupun orang kata yang pergi tetap pergi…tetapi sebagai seorang ibu saya rasai dia (arwah). (Saya) punya perasaan bahawa (arwah) anak saya bersama saya,” katanya kepada The Rakyat Post ketika ditemui di Istana Budaya hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Vida, berkata demikian ketika ditanya apakah kekuatan yang dipegang beliau untuk mengambil langkah menaja kumpulan bola sepak yang diminati ramai itu seperti diumumkan awal bulan ini.

Untuk rekod, Dr Vida mempunyai empat orang anak iaitu Eddie Zuhdi dan Edrie Zikri, Edlin Zamilin, 8, serta Eric Zaquan, 6. Eddie Zuhdi dan Edrie Zikri yang masing-masing berusia 10 dan 11 tahun pada 2013, meninggal dunia dalam kebakaran di rumah jutawan kosmetik itu, dua tahun lalu.

Ibu tunggal itu juga pernah berpengalaman gagal dalam perkahwinan beberapa kali sebelum ini, termasuk pada perkahwinan terbaru pada 2014.

Menurut Dr Vida, apa juga yang dilakukannya berlandaskan kepercayaan dan niatnya untuk membantu mereka yang memerlukan.

Susulan daripada itu, beliau berkata, dirinya tidak gentar untuk berdiri seiring dengan kumpulan bola sepak negeri-negeri lain yang hampir kesemuanya dipimpin oleh kerabat diraja negeri masing-masing.

“Haruslah, sebab bukan sahaja bersaing, tetapi saya nak pastikan kemenangan dan kejayaan The Red Warriors.

“Tak apa, saya daripada rakyat untuk rakyat. Saya sebagai orang yang tuhan bagi kelebihan dan dalam masa yang sama saya nak berniaga dan produk-produk saya orang kenal dan orang cuba, dan penerimaan terhadap produk saya juga luar biasa, Alhamdulillah,” katanya lagi sambil memegang ‘mahkota’nya yang sinonim dengan dirinya.

Sebelum ini, The Rakyat Post pernah melaporkan bahawa usahawan terkenal ini yakin bahawa TRW di bawah tajaannya akan `pergi’ jauh lebih baik berbanding pasukan bola sepak Johor, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dikelolai oleh Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim.

Dan semalam, Datuk Seri Vida melalui laporan portal mStar menunjukkan kesungguhan dengan menyatakan kesediaan menaja pasukan bola sepak Kelantan itu sehingga mencecah jumlah lapan angka.

Tajaan itu pula katanya melibatkan kontrak selama dua tahun.

Bagaimanapun, Dr Vida berkata, sehingga kini, beliau masih belum mendapat kata balas dari pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Malah, beliau bertegas bahawa syarat-syarat yang dikemukakan untuk menaja TRW tidak sekali-kali akan diubah dan beliau tetap dengan pendiriannya itu termasuk mengubah warna Stadium Kelantan kepada merah jambu.

“Tidak..tidak..tidak, saya tidak akan ubah..berpegang pada syarat itu. Sebab, saya rasa bila perkara itu sudah viral dalam media sosial, ramai yang bagi respons cantik stadium berwarna pink..kelas gitu.

“Wawasan saya memang sampai ke akar umbi saya akan buat. Kalau saya terlibat saya kena duduk dalam itu dan buat dengan cara saya,” katanya lagi.