PONTIAN, 7 Januari 2016:

Seorang lelaki terbunuh manakala seorang lagi cedera selepas bot yang dinaiki terbalik selepas terlanggar batu di perairan Tambak Pontian Baru di sini, hari ini.

Mangsa yang maut merupakan pemastautin tetap dikenal pasti sebagai, Zainal Abdullah, 58, manakala seroang lagi mangsa yang cedera Osman Omar, 41.

Difahamkan, kedua-dua mangsa tercampak daripada bot dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.10 petang.

Mangsa yang terselamat dibantu oleh orang awam dibawa ke darat, manakala pencarian seorang lagi mangsa dijalankan.

Mangsa kemudiannya ditemui selepas sejam pencarian dilakukan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pasukan daripada Balai Bomba Pontian Baru dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.16 petang.

“Seorang mangsa diselamatkan orang awam manakala pencarian dibuat bagi mengesan seorang lagi mangsa yang hilang.

“Kita turut meminta pasukan scuba ke lokasi bagi membantui pencarian,” katanya.

Jurucakap itu berkata, mangsa kedua ditemui di tengah laut pada jam 2.46 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

“Pasukan SAR, dengan bantuan orang awam menggunakan jarring untuk mengambil mayat mangsa.

“Siasatan awal mendapati, mangsa mengalami kecederaan di kepala dipercayai akibat hentakan pada kipas enjin bot,” katanya.

Mangsa yang cedera kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pontian, manakala mayat seorang lagi mangsa diserahkan kepada polis untuk proses identifikasi.