KUALA LUMPUR, 5 Januari 2015:

Jabatan Perikanan Negeri Pahang mengesahkan kejadian fenomena ikan mati dan terdampar berlaku awal pagi tadi di Sungai Tonggak, Pahang.

Pengarah Perikanan Negeri, Adnan Hussain berkata, pihaknya ada menerima aduan mengenai kejadian itu daripada orang awam.

“Aduan ini juga telah dipanjangkan ke Putrajaya dan pegawai kami di Pahang juga sudah turun ke padang melawat tempat kejadian.

“Bagaimanapun, siasatan terperinci masih lagi sedang dijalankan dan kami masih tidak mengetahui punca sebenar kejadian ikan mati dan terdampar di Sungai Tonggak,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, hanya sebilangan kecil sahaja ikan-ikan yang mati dan terdampar di kawasan terbabit.

“Ikan-ikan yang mati itu pun hanya melibatkan spesis tertentu dan mati bukannya kerana pencemaran sebaliknya kerana air pasang surut,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya juga mengambil beberapa sampel ikan untuk dikaji.

Sementara itu, Persatuan Pencinta Alam (MNS) Negeri Pahang turut meluahkan kebimbangan mengenai fenomena itu.

Ahli Majlisnya, Noor Jehan Abu Bakar berkata, seramai tiga orang ahli MNS Negeri Pahang terlibat dengan kerja-kerja mengutip sampel ikan di sekitar Sungai Tonggak.

“Kita sudah ambil sampel pagi tadi dan ia akan dihantar ke sebuah makmal di Kuala Lumpur awal pagi esok.

“Bila kami sudah dapat keputusan, barulah boleh beri komen sebab saya bimbang nanti tersalah fakta mengenai fenomena ini,” katanya melalui aplikasi pesanan ringkas Whatapps.

Ujarnya, pihak MNS tidak mahu memberikan sebarang gambaran yang tidak jelas mengenai kejadian itu kerana ia suatu yang serius kerana boleh menjejaskan sumber minuman dan makanan terutamanya buat penduduk setempat.

“Kalau tuduh-tuduh sahaja tanpa ada bukti saintifik, tak elok juga.

“Biarlah kami pastikan terlebih dahulu sebab kematian ikan-ikan ini. Saya tak nak berdosa tuduh orang-orang (pelombong) bauksit ini secara melulu walaupun saya memang marah dengan mereka,” katanya.

Tambahnya, penduduk setempat juga memberikan bantuan kepada mereka.

“Kerja-kerja ambil sampel jadi lebih mudah dengan bantuan penduduk setempat. Mereka lebih tahu selok-belok kawasan ini,” katanya.