MUAR, 4 Januari:

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencemar duli bersantap sarapan pagi bersama penduduk Muar di Restoran Al Ziya Fathima di Pusat Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh, pagi tadi.

Baginda yang tiba dengan menaiki kenderaan rasmi dan turut diiringi Pegawai Daerah Muar, Ramlee A Rahman, ternyata mengujakan pengunjung yang tidak menyangka menerima keberangkatan baginda, kira-kira jam 6.45 pagi tadi.

Sultan Ibrahim memesan santapan kegemaran baginda, iaitu roti canai kari kambing dan ayam bersama minuman halia o ais.

Sebagai raja yang berjiwa rakyat, Sultan Ibrahim turut berkenan meluangkan masa bersembang dengan rakyat dan bergambar bersama pengunjung di restoran terbabit.

Baginda kemudiannya berangkat pulang ke Istana Tanjung, dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda baginda, selepas menghabiskan kira-kira 45 minit bersama rakyat.