KUALA LUMPUR, 4 Januari 2016:

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar mengancam untuk mengadakan halangan manusia sekiranya kerajaan negeri Pahang gagal menghentikan aktiviti perlombongan bauksit sebelum 15 Januari ini.

Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Pahang, Khaidir Ahmad berkata, NGO akan menggerakkan penduduk tempatan untuk membentuk halangan manusia bagi menghalang lori membawa muatan bauksit masuk atau keluar dari lombong di Kuantan.

Dia turut memberi amaran bahawa halangan itu juga akan dibentuk di hadapan stok bauksit di Gebeng dan Pelabuhan Kuantan.

Peka merupakan salah satu pakatan yang menentang pencemaran bauksit, yang dipanggil Gabungan Badan Bertindak Menentang Bauksit (GBBMB).

Ia turut membabitkan 20 kumpulan alan sekitar dan masyarakat sivil termasuklah Jawatankuasa Peguam Pahang, Sahabat Alam Malaysia, Himpunan Hijau dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia.

“Kami mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menggantung sementara operasi perlobongan bauksit di Kuantan, Pahang yang mana ia menyebabkan masalah alam sekitar yang serius.

“Bagaimanapun, langkah paling baik adalah dengan menghentikan terus operasi perlombongan itu untuk kebaikan alam sekitar dan kehidupan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Aktiviti terbabit menyebabkan perubahan mendadak persekitaran di mana ia menyebabkan sungai dan juga laut bertukar kemerahan akibat pencemaran itu.

Terdapat warga tempatan, termasuk GBBMB menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bagi menggesa beliau mengumumkan moratorium terhadap aktiviti itu atau meletakkan jawatan sekiranya tiada tindakan diambil.

Sementara itu Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh telah mengkritik keputusan Kabinet yang menghentikan sementara aktiviti perlombongan di Kuantan dan menggesa pihak kerajaan persekutuan memantau aktiviti itu.

Dalam pada itu, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar turut bersuara berhubung pelombongan bauksit.

Menerusi akaun instagram miliknya, Tunku Azizah turut berkongsikan beberapa keratan akhbar berkenaan perlombongan bauksit di Kuantan.

Dalam satu postingnya, Tunku Azizah turut menyampaikan mesej kepada rakyat, “Fight people fight”.