JOHOR BARU, 1 Januari:

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu melihat semua rakyat Johor, tanpa mengira bangsa atau latar belakang, bekerjasama untuk meraih pencapaian lebih tinggi untuk Johor pada tahun baru ini.

“Pada 2016, beta mendoakan kepada semua Tahun Baru yang makmur dan gembira.

“Beta berdoa supaya kita dapat bekerjasama, di bawah panji “Bangsa Johor”, dan kita akan meraih pencapaian lebih tingggi, “Demi Johor”,” katanya dalam mesej Tahun Baru yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, lewat semalam.

Pemerintah negeri itu turut mengingatkan rakyat Johor mengenai terma “Muafakat Bangsa Johor” bukan sekadar satu slogan, tetapi realitinya menggambarkan perpaduan Bangsa Johor.

Sultan Ibrahim berkata, sebagai pemerintah rakyat Johor, dia akan terus memenuhi tugasnya pada tahun baru.

“Saya akan bekerja bagi memastikan tiada rakyat Johor ketinggalan dalam kemajuan Johor, dan pemimpin yang dilantik menggalas tanggungjawab dengan amanah dan ikhlas,” katanya.

Mesej dalam akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim itu mengumpul lebih 2,700 likes, 318 komen dan 10,300 views pada masa berita ini disiarkan.

Sultan Ibrahim, yang popular dengan wawasannya yang terang, turut mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke Johor sempena Tahun Melawat Johor.

Terdahulu, pemerintah negeri itu sebagai mewakili keluarga Diraja Johor, berterima kasih kepada semua atas sokongan mereka tahun lalu.

“Beta dan keluarga berterima kasih kepada semua, terutama Bangsa Johor, atas sokongan yang tidak putus dan kerana kekal bersatu pada masa yang sukar.

“Rasa terima kasih ini datang dari lubuk hati, kerana Beta sangat tersentuh dengan kasih sayang dan kesetiaan yang diberikan, dan Beta sangat berbangga dengan perpaduan kita.”