KUALA LUMPUR, 31 Disember 2015:

Peniaga telefon bimbit berusia 21 tahun mengaku bersalah atas tuduhan menipu dan dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Liew Wai Chun, jurujual Team Spirit Enterprise di Kompleks Kota Raya, menjual telefon bimbit berjenama Samsung Galaxy berharga RM400 kepada mangsa, Shamsol Esham Hashim, 41 yang pekak dan bisu.

Selepas menyerahkan wang, pengadu diminta menandatangani satu resit dan selepas ia ditandatangani, jurujual berkenaan meminta pengadu menambah wang sebanyak RM450.

Pengadu bagaimanapun tidak bersetuju dan enggan membayarnya.

Dia kemudiannya diberitahu diberi masa tiga bulan untuk membayar baki itu dan mengambil telefon berkenaan.

Liew didakwa di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun serta sebatan dan denda.

Satu serbuan telah dijalankan di Kompleks Kota Raya pada 27 Mac lalu dan hasil serbuan itu, sebanyak 500 unit telefon bimbit yang dipercayai tiruan dirampas.

Terdahulu, satu insiden pergaduhan tercetus di kompleks berkenaan selepas sekumpulan pengguna tidak berpuas hati dan meminta ganti rugi daripada peniaga yang didakwa menipu mereka.

Susulan itu, seorang penjaga parkir ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap lima individu.

Dia mengaku bersalah dan dipenjara empat hari dan denda RM1,800.