KUALA LUMPUR, 30 Disember:

Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang (JBPTLK) hari ini memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Mahkamah Tinggi, bagi mengharamkan perkhidmatan kereta sapu, seperti Uber dan GrabCar di negara ini.

Peguam, R. Kengadharan yang mewakili kumpulan terdiri daripada 29 persatuan pemandu teksi di Lembah Klang itu berkata, jawatankuasa terbabit juga berusaha menghalang perkhidmatan aplikasi telefon pintar itu daripada menjadi sah.

“Ini (aplikasi) telah menjejaskan periuk nasi mereka (pemandu teksi), kerana terdapat lebih 40,000 daripada mereka yang beroperasi di Lembah Klang,

“Jika perkhidmatan Uber, GrabCar dan Blacklane menjadi sah, punca pendapatan mereka akan terjejas teruk.

“Mereka tidak minta untuk memonopoli industri itu, tetapi tujuan di sini adalah untuk mendapatkan keadilan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, dekat Jalan Tuanku Abdul Halim, hari ini.

Kengadharan berkata, Seksyen 2 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 tidak merujuk kepada Uber, GrabCar dan Blacklane.

Kumpulan itu juga memohon pengisytiharan haram terhadap semua perkhidmatan perkongsian perjalanan, selain memohon injuksi kekal bagi menghalang SPAD daripada mengambil sebarang langkah untuk menjadikan perkhidmatan terbabit sah.

“Kami juga meminta ganti rugi am, walaupun ia bukan teras tuntutan itu.

“Mereka (perkhidmatan perkongsian perjalanan) bukan kenderaan komersial, tetapi adalah kenderaan peribadi yang digunakan untuk tujuan komersial dan pemandunya tidak mempunyai lesen ditetapkan.

“Penumpang yang menaiki Uber tidak diberikan perlindungan insurans sewajarnya dan kenderaan yang mereka gunakan tidak melalui pemeriksaan berkala,” katanya.

Presiden JBPTLK, Zailani Isa Usuludin berkata, pemandu teksi di Lembah Klang telah kehilangan kira-kira 60 peratus pendapatan mereka, sejak kemunculan perkhidmatan perkongsian perjalanan yang tidak dikawal selia itu.

“Kami mengambil langkah ini untuk mencari keadilan di mahkamah, kerana kami sedang mencari keadilan untuk pemandu teksi yang telah menjadi mangsa SPAD,” katanya.