KUALA LUMPUR, 30 Disember 2015:

Susulan isu bahagian bumbung rumah yang kelihatan seperti lambang salib di Langkawi baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin berpendapat, orang ramai terlalu banyak membuang masa dengan isu bodoh seperti itu.

Menerusi akaun Twitter miliknya, beliau yang memakai baju berwarna biru bergambar di hadapan perumahan yang dipenuhi dengan bumbung seolah-olah lambang salib dengan kapsyen:

“Rumah2 yang ada ‘salib’ di Langkawi. Sekarang telah dicat semula selepas kecoh (Now repainted after the uproar). Kita terlalu banyak membuang masa dengan isu-isu bodoh (We waste too much time on stupid issues).

Terdahulu, Kerajaan Negeri Kedah menggesa pemaju syarikat perumahan tersebut memperbetulkan semula struktur binaan yang kelihatan seperti simbol salib kerana tidak mahu ia menjadi isu yang berlarutan.

“Saya minta pemaju syarikat perumahan berkenaan lihat semula masalah ini supaya tidak nampak lagi bentuk seolah-olah salib pada bahagian bumbung rumah.

“Saya tidak mahu ia dipanjangkan kerana ia isu sensitif melibatkan keagamaan. Pemaju perumahan harus pastikan ia dapat diperbetulkan semula,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen DAP-Segambut, Lim Lip Eng menegaskan bahawa tindakan menyebarkan gambar tersebut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab adalah cubaan untuk mewujudkan ketegangan agama di negara ini.