KUALA LUMPUR, 30 Disember 2015:

Tentera Darat akan membawa keluarga Kapten Hasman Hussin yang dilaporkan lemas di Pulaskit County, Missouri, Amerika Syarikat bagi proses pengecaman susulan penemuan mayat seorang lelaki pada Isnin lalu.

Dalam kenyataan Markas Tentera Darat Wisma Pertahanan hari ini berkata, mayat pegawai tentera darat itu ditemui 11 pagi waktu tempatan selepas dihanyutkan banjir.

“Pihak Tentera Darat kini sedang berusaha untuk menguruskan waris terdekat Allahyarham ke Amerika Syarikat untuk proses pengecaman jenazah,” katanya.

Menurutnya, berita penemuan jenazah Allahyarham dimaklumkan kepada keluarganya di Masjid Tanah, Melaka dan Felda Palong, Negeri Sembilan pagi tadi.

Jenazah telah dibawa ke Hospital Fort Leonard Wood.

Allahyarham Hasman berada di Amerika Syarikat bagi mengikuti Kursus Kerjaya Kapten Jurutera bermula 1 Oktober dan dijadualkan berakhir 15 April 2016.

Dalam kejadian 26 Disember lalu, mangsa bersama empat rakan kolejnya maut selepas dikatakan cuba meredah laluan yang dipenuhi air banjir dengan menggunakan sebuah kenderaan sebelum dihanyutkan.