KUALA LUMPUR, 30 Disember:

Pencemaran yang berpunca daripada aktiviti perlombongan bauksit di sekitar Kuantan, Pahang dikhuatiri akan turut mencemarkan sumber air minuman dan makanan dalam jangka panjang.

Pakar air, Prof Dr Maketab Mohamed berkata, tindakan pelombong bauksit tidak membina bumbung atau tempat simpanan khas, akan menyebabkan air hujan membawa bahan galian bauksit mengalir ke kawasan muka sauh, seterusnya ke sungai dan lautan, sehingga menyebabkan punca air minuman tercemar.

“Berdasarkan kajian yang saya lakukan baru-baru ini, air tercemar ini mengandungi kandungan logam berat yang tinggi, seperti merkuri dan raksa.

“Air seperti ini bukannya boleh mendatangkan penyakit hari ini, tetapi kesannya datang lambat di kemudian hari, dalam jangka masa panjang, apabila kita meminumnya.

“Malah, kandungan logam berat ini juga boleh terkumpul dalam lemak hidupan marin yang menjadi sumber makanan kita, seperti ikan air tawar dan ikan air masin, sotong atau udang,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Beliau berpendapat, Kementerian Kesihatan perlu memaklumkan kandungan logam berat itu kepada orang ramai serta langkah-langkah pencegahan yang boleh mereka ambil.

“Kalau kandungan logam beratnya tinggi, penduduk di sekitar kawasan tersebut patut buat apa, seperti kena minum air botol atau sebagainya.

“Insya Allah, saya akan lakukan kajian lebih menyeluruh ke atas air tersebut dan sampel airnya akan hantar ke makmal swasta bertauliah di Lembah Klang, dalam masa terdekat,” katanya.

laut tercemar
Air laut di sebuah pantai di Kuantan bertukar warna menjadi merah, dipercayai akibat pencemaran bauksit yang mengalir dari sungai ke laut. – Foto Facebook

Tambah Maketab lagi, perlombongan bauksit bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah ia merosakkan keindahan di lokasi tersebut.

“Keadaan ini nampak tidak cantik. Kalau dulu tempat ini terkenal dengan pasir putih, kini sudah ada tanah merah berselut. Kalau pelancong tengok pun, sudah tentu mereka tidak akan berkunjung ke sana.

“Kalau keadaan ini berterusan, lama-kelamaan ia boleh bertambah serius, lebih-lebih lagi musim tengkujuh ini, lagi banyak air tercemar yang mengandungi logam bauksit akan mengalir dan makin banyak kawasan pelancongan di Pahang akan terjejas.

“Hari ini Pantai Batu Hitam tercemar, esok tidak mustahil ia akan mengalir ke Pantai Teluk Sepat. Nasib baik ia tidak mengalir ke utara, kalau tidak, habis pantai di Cherating terdedah kepada pencemaran ini.

“Bagaimanapun, mengikut arusnya, ia akan mengalir hingga ke Pantai Teluk Chempedak, Kuantan. Biarpun pantai ini tersembunyi sedikit, sebab ia berada pada kedudukan teluk, tetapi ia berada di selatan laluan arus tersebut,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pahang turut bimbang dengan kesan pencemaran bauksit yang kini merebak ke sungai dan laut.

bauksit
Muara Sungai Balok menjadi kemerahan, selepas hujan lebat seharian pada Isnin lalu yang dipercayai turut mengalirkan bahan galian bauksit ke sungai dan laut. – Foto Bernama

Ahli Majlisnya, Noor Jehan Abu Bakar berkata, hujan lebat seharian pada Isnin lalu telah menyebabkan air tercemar yang mengandungi logam aluminium itu mengalir ke sungai dan laut.

“Kami percaya lumpur daripada stockpile yang dikumpul berhampiran tapak simpanan dan lombong bauksit telah mengalir ke sungai dan laut kita di Pantai Batu Hitam, Pahang.

“Keadaan ini menyebabkan air sungai bertukar kemerah-merahan dan seterusnya mengalir keluar ke laut, membawa bersama lumpur dan selut bauksit tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya jika keadaan itu berbahaya kepada penduduk setempat dan hidupan marin, Noor Jehan berkata, tanpa menguji kandungan air tersebut adalah sukar baginya untuk mengatakan air itu berbahaya atau tidak.

Bagaimanapun, warna merah pada air mengalir itu adalah petunjuk terdapat lumpur yang mengalir dari sungai ke laut.

“Lumpur di dalam air ini mengandungi pelbagai logam berat dalam kandungan banyak dan ia boleh memudaratkan ekosistem sungai dan lautan kita,” katanya.