PETALING JAYA, 30 Disember 2015:

Gara-gara enggan menggunakan jejantas yang disediakan, seorang warga Nepal maut selepas dilanggar tren komuter KTM berhampiran Stesen Setia Jaya menghala Klang, dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah malam itu, mangsa Gelje Sherpa, 30, dipercayai melintas landasan kereta api untuk pulang ke rumah di Pangsapuri Damai yang berdekatan dengan tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, mangsa tercampak kira-kira lima meter susulan penemuan selipar dipercayai milik mangsa.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menggunakan laluan ini untuk pulang ke rumah sebelum dilanggar kereta api dan tercampak.

“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.